mcmc
Sejarah

sejarah

Selamat Datang ke Negeri Perak Darul Ridzuan

Negeri Perak adalah merupakan sebuah negeri yang penuh dengan peluang, permai dan indah. Bersempadan dengan beberapa buah negeri yang lain, Negeri Perak menawarkan pelbagai keistimewaan sama ada dari segi ekonomi, pelancongan, infrastruktur dan sebagainya. Negeri Perak atau juga dikenali sebagai Perak Darul Ridzuan merupakan negeri yang kedua terbesar di Semenanjung Malaysia (selepas Pahang), dengan berkeluasan 21,000km persegi. Ia merupakan salah satu daripada negeri yang membentuk Persekutuan Tanah Melayu (Malaysia).

Negeri Perak meliputi kawasan 6.4% daripada jumlah keluasan Malaysia. Perak mengalami cuaca panas dan lembap sepanjang tahun dan kadar suhu di antara 23.7 darjah ke 33.2 darjah Celsius, serta kelembapan melebihi 82.3% serta hujan pada kadar 3,218.00mm setahun. Bukit Larut merupakan tempat yang paling lembab di Malaysia dengan lebih kurang 5080 mm.

Hampir separuh keluasan Perak diliputi dengan hutan iaitu seluas 10,713 km persegi di mana 95.6% ialah Hutan Hujan Khatulistiwa dan selebihnya iaitu 4.4% adalah Hutan Paya Bakau. Negeri Perak juga dikenali sebagai Bumi Bertuah, dikurniakan dengan pelbagai anugerah Tuhan dan tempat-tempat menarik untuk dinikmati oleh semua lapisan masyarakat.

Perak terbahagi kepada 10 daerah iaitu Batang Padang, Kinta, Kuala Kangsar, Larut, Matang dan Selama, Kerian, Manjung, Hilir Perak, Perak Tengah dan Hulu Perak. Bandar-bandar utama di Perak adalah termasuk Ipoh, Kuala Kangsar, Taiping, Batu Gajah, Teluk Intan dan Kampar. Sultan Negeri Perak merupakan Ketua Perlembagaan Negeri. Dibawah perlembagaan negeri, kuasa perundangan dipunyai oleh Dewan Undangan. Dewan ini melantikkan ahli Dewan untuk membentukkan Majlis Mesyuarat Kerajaan EXCO yang diketuai oleh Menteri Besar memegang kuasa eksekutif dan merupakan badan yang membuat dasar kerajaan negeri. Menteri Besar yang dilantik oleh Sultan adalah daripada parti politik yang memenangi kerusi yang terbanyak di dalam Dewan Undangan.

(Sumber rujukan:http://www.perak.gov.my)